Selamat Tahun Baru... Selamat berhijrah

Selamat Tahun Baru... Selamat berhijrah

"HIDUP INI INDAH JIKA SEGALANYA KERANA ALLAH"

1. Hijrah amal dan ketaatan

Sesungguhnya kehadiran kita di muka bumi adalah untuk beramal dan beribadat kepadaNya. Justeru itu, marilah kita sama-sama berazam dan berusaha untuk memperbaiki dan meningkatkan amalan dan ketaatan kepadaNya (Tuhan yang Maha Esa).

2. Hijrah sikap dan perbuatan

Siapa diri kita sebenarnya boleh dilihat melalui perbuatan kita sehari-hari.  Perbuatan yang dilakukan secara berulang-ulang akan menjadi suatu tabiat dan jika tabiat itu sentiasa dilakukan, maka ianya membentuk sikap. Kemudiannya sikap akan membentuk personaliti diri. Justeru itu, marilah kita sama-sama berazam dan berusaha untuk meninggalkan perbuatan yang negatif dan digantikan dengan perbuatan-perbuatan yang positif setiap hari.


3. Hijrah ilmu dan pencapaian

Demi memperolehi sesuatu di dunia perlukan ilmu, begitu juga perkara yang diinginkan di akhirat juga perlukan ilmu. Dengan ilmu, kita akan dapat melakukan sesuatu perkara itu dengan betul dan efektif. Marilah kita sama-sama berazam untuk menimba seberapa banyak ilmu yang diperlukan, di samping itu juga kita berusaha untuk meningkatkan pencapaian hidup kita sama ada dalam aspek kekeluargaan, kerjaya atau masyarakat melalui ilmu yang diamalkan.

4. Hijrah ekonomi dan pemilikan

Semua orang ingin bergelar jutawan, namun tidak ramai yang berusaha untuk menjadi jutawan. Meskipun kita mungkin merasa bahagia dengan apa yang ada kini, namun realitinya kita harus terus meningkatkan keupayaan ekonomi kita supaya dapat membantu keluarga, sanak-saudara dan masyarakat yang masih memerlukan bantuan. Lihatlah di kawasan-kawasan bandar berapa banyakkah premis perniagaan atau kediaman banglo yang dimiliki oleh orang-orang yang seagama dengan kita? Marilah kita sama-sama berjihad untuk meningkatkan ekonomi ummah, supaya kita akan lebih berkuasa dan dihormati.

5. Hijrah kepada Islam yang syumul

Sesungguhnya, segala perubahan yang ingin kita lakukan sempena tahun hijrah atau tahun masihi, hendaklah dimulakan dengan niat kerana ingin beribadat kepada Tuhan yang Maha Esa. Marilah kita sama-sama berhijrah kea rah kebaikan menuju sebuah kehidupan yang mendapat keredhaanNya.

-Selamat Tahun Baru-

Tidak ada komentar:

Posting Komentar